Huffaz Teknokrat, Satu gelaran yang semakin dibangunkan

Assalamualaikum WBT.
Apa khabar para pembaca?
Semoga Allah sentiasa merahmati kita dan menghidupkan kita dalam kehidupan berteraskan Al-Quran.

Dewasa ini, kita melihat Pusat Tahfiz tumbuh bagai cendawan selepas hujan. Pelbagai hala-tuju dan impian yang diletakkan oleh mana-mana pusat tahfiz sebagai salah satu model menarik perhatian masyarakat. Tidak kurang juga pelbagai teknik diperkenalkan  bagi memudahkan para pelajarnya mencapai target yang diimpikan. Antara teknik yang terkenal sekarang adalah Teknik Al-Baghdadi yang semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat.

Huffaz Teknokrat?

Sebenarnya apa maksud huffaz teknokrat tu?
Huffaz teknokrat membawa kepada gelaran yang ditujukan kepada seorang Huffaz yakni yang belajar dan telah menghafaz 30 Juzu’ Al-Quran serta berada dalam bidang professional seperti Doktor, Pensyarah, Arkitek, Jurutera dan sebagainya. Hakikatnya gelaran ini bukanlah bertujuan untuk membeza-bezakan atau membina kasta dalam kehidupan, tetapi, dengan adanya model seperti ini bakal menjadikan masyarakat lebih membuka mata bahawa dengan menghafaz Al-Quran, mereka juga boleh masuk dalam pelbagai bidang kerjaya. Cuma yang membezakannya, golongan ini mempunyai Al-Quran di dada yang diharapkan dapat memandu kerjaya dan kehidupannya. Semoga dengan adanya gelaran ini, mentaliti negatif yang hanya menganggap belajar Al-Quran dan menghafaznya ini hanya sekadar menjadi Imam masjid dan golongan asatizah sahaja semakin hilang.

Objektif

Al-Quran adalah salah satu sumber kehidupan kita yang Islam letakkan sebagai perlembagaan hidup. Seperti sebuah negara yang terbina, terbinanya juga dengan satu perlembagaan yang menjaga dan memandu negara tersebut. Maka, begitulah juga kehidupan. Ia memerlukan satu perlembagaan bagi memandu hidup ini ke arah redhaNya. Seorang huffaz yang lahir, diajarkan padanya mengenai perkara yang halal dan haram, diceritakan kepadanya mengenai kisah-kisah teladan dari Al-Quran, dan pelbagai ilmu yang diperolehi asbab dari menghafaz dan belajar Al-Quran.

Oleh yang demikian, maka lahirlah seorang Pensyarah yang kenal akan halal haramnya, lahirnya seorang Aritek yang telus dan amanah, terbentuknya seorang Doktor yang bukan sahaja mahir dalam merawat penyakit fizikal, malah mampu merawat penyakit hati dan memandu pesakit lebih dekat kepada Tuhannya.


Sejarah

Walaupun nama atau gelaran ini jarang kita dengari, tetapi percaya atau tidak, sebenarnya Malaysia adalah salah satu negara yang sedang berusaha membangunkannya. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) adalah antara salah satu badan utama yang berusaha keras dalam membangunkannya melalui institiut pengajian dibawah kelolaannya iaitu Darul Quran JAKIM yang terletak di Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor. Darul Quran JAKIM telah memperkenalkan satu program khas yang dinamakan Pensijilan Tahfiz Al-Quran Darul Quran/UIAM.

Program ini adalah gandingan antara Darul Quran bersama Univeriti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Para pelajar diberi masa selama 18 bulan atau satu tahun setengah untuk menghabiskan hafazan Al-Quran. Para pelajar yang mengikuti program ini seterusnya akan diserap ke UIAM bagi mengikuti jurusan yang dipilih seperti Perubatan, Pergigian, Farmasi, Sains Kesihatan Bersekutu, Jurutera, Arkitek dan sebagainya. Program ini mula diperkenalkan pada tahun 2000 melalui idea yang dipelopori oleh salah seorang Ahli Lembaga Pengarah Darul Quran, Y.Bhg. Prof. Madya Dr. Sidek Baba. Alhamdulillah, natijah usaha yang keras JAKIM dalam mengembangkan program ini melihatkan pelbagai pihak turut berminat dalam bersama-sama membangunkan program ini. Darul Quran sekarang sudah mempunyai 3 institiut pengajian yang turut sama  berganding bahu dalam merealisasikan impian melahirkan huffaz teknokrat iaitu UIAM, UNITEN dan USIM.

Cabaran

Sesuatu perkara yang ingin dibina tidak boleh lari dari halangan dan cabaran yang bakal tiba. Huffaz teknokrat adalah satu gelaran yang hakikatnya bukanlah satu gelaran yang harus dibanggakan. Terbinanya ia dengan seribu satu tanggungjawab dalam membina dan membentuk masyarakat. Sesungguhnya manusia itu dikira nilainya oleh Allah melalui tahap ketakwaannya.

Gelaran ini juga bukanlah jaminan 100% yang memandu mereka menjadi seorang manusia yang berguna taat kepada perintahNya, tetapi, pengharapan itu tetap diberikan lantaran Allah telah berfirman dalam Surah An-Naml ayat ke 77 yang bermaksud :

Dan sesungguhnya Al-Quran itu menjadi hidayah petunjuk dan rahmat bagi orang-orang yang beriman”.


Harapan

Menjadi seorang huffaz teknokrat perlulah dimulakan dari bawah. Pendidikan Al-Quran harus diterapkan dalam jiwa anak-anak seawal mereka masih kecil. Bagaimana ibu bapa mampu membelanjakan harta kepada anak-anak bagi kecemerlangan akademik mereka, begitulah juga sepatutnya sikap ibu bapa dalam melaburkan harta bagi kehidupan akhirat anak-anak.

Sesungguhnya anak-anak itu adalah amanah, dan kitalah sebagai ibu bapa yang mencorakkannya.
Apa pun, tepuk dada, tanya iman.

JOM BELAJAR AL-QURAN BERSAMA KAMI!

Untuk sebarang pertanyaan, sila hubungi :
Ustajah Hana : +6011-3933 6339

Sekian, terima kasih.

Leave a Reply

Close Menu